Hujan lebat di negeri barat Sarawak

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan negeri-negeri di barat Sarawak akan menerima jumlah hujan yang tinggi menyebabkan berlakunya banjir ketika musim Monsun Timur Laut mulai bulan ini hingga Januari depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata dalam tempoh berkenaan, negara diramal menerima empat hingga lima kali episod hujan lebat yang boleh membawa kepada banjir besar.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan banjir terutama di kawasan lembah sungai dan kawasan rendah,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu sama ada Monsun Timur Laut dilihat sebagai fenomena yang berupaya mengakibatkan kejadian banjir besar dan bencana lain serta persediaan kementerian dalam mengawasi fenomena itu.
“Kebanyakan bahagian di Sarawak akan menerima jumlah hujan sekitar 350 mm pada November dan Disember, namun Kuching dan Samarahan menerima taburan hujan sebanyak 400 mm hingga 500 mm pada Januari depan.
“Lazimnya keadaan cuaca sebegini boleh menyebabkan kejadian banjir di kawasan rendah dan pinggir sungai. Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang tinggi, risiko kejadian banjir akan meningkat,” jelasnya.
Madius berkata antara langkah yang akan diambil selain daripada beroperasi 24 jam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga akan menggerakkan pasukan bilik gerakan apabila amaran terperingkat dikeluarkan bagi memastikan pemantauan yang lebih efektif serta mengelakkan kegagalan ke atas sistem pemantauan dan penyampaian.
Di peringkat negeri, taklimat tinjauan cuaca disampaikan kepada agensi-agensi pengurusan bencana masing-masing bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi musim monsun itu.
Beliau berkata jabatan itu turut akan mengubah kategori amaran yang dipaparkan di laman sesawang METMalaysia kepada amaran bertulis berwarna kuning, jingga dan merah agar lebih mudah difahami umum.

Ulasan