Liverpool tak akan terkalah

ADAM LALLANA menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan untuk memastikan Liverpool seri 1-1 dengan musuh tradisi Manchester United di Old Trafford pada Ahad.

Jaringan pada minit ke-85 itu memastikan Liverpool kekal dengan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Beraksi di halaman sendiri, United terlebih dahulu di depan menerusi Marcus Rashford pada minit ke-35, selepas menerima hantaran Daniel James.

Gol tersebut tidak dibatalkan pengadil walaupun pasukan Liverpool memprotes keputusan tidak memberikan faul ke atas kekasaran Victor Lindelof terhadap Divock Origi sebelum jaringan itu.

Pengadil perlawanan, Martin Atkitson merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) namun keputusan untuk tidak memberikan faul kekal untuk tuan rumah mendahului 1-0.


Sadio Mane berjaya membolosi gawang United seminit sebelum babak pertama tamat namun VAR mendapati bola terkena tangan penyerang Senegal itu sebelum gol dijaringkan.

Babak kedua menyaksikan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memasukkan Alex Oxlade-Chamberlain dan Lallana yang menyaksikan rentak permainan lebih teratur selain menyaksikan hantaran lintang yang lebih berbahaya.



Penantian penyokong Liverpool untuk mendapatkan gol penyamaan berakhir selepas Lallana yang tidak dikawal mudah menolak bola ke dalam gawang United, selepas Andy Robertson membuat hantaran silang yang cantik melepasi kesemua pertahanan the Red Devils.

Liverpool kini mengumpul 25 mata daripada sembilan perlawanan, enam mata di hadapan juara bertahan Manchester City, manakala United jatuh ke tangga ke-13 dengan hanya 10 mata.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu hanya mencatat dua kemenangan sejak EPL bermula pada Ogos.

Ulasan